Engkorang Yang Best

Tuesday, November 9, 2010

Wanita pinggang paling ramping

Assalamualaikum...


SEBAIK sahaja gadis itu melangkah masuk ke ruang uji bakat America's Next Top Model (ANTM), juri-juri termasuk supermodel terkenal, Tyra Banks memandangnya dengan mulut yang terlopong.

"Anda mempunyai pinggang paling kecil di dunia!" ujar Tyra kepada gadis bernama Ann Ward itu.


Seorang rakan juri, J. Alexander menghampiri Ann dan mencekak pinggang gadis itu dengan kedua-dua telapak tangannya.

Ia ternyata cukup untuk membuatkan jari tangan kanan lelaki itu bertemu jari tangan kirinya. Gadis itu hanya mempunyai saiz lilitan pinggang berukuran 18 inci (45.7 sentimeter).

Video uji bakat tersebut yang disiarkan dalam promo rancangan realiti televisyen bidang peragaan itu bagi musim terbaru telah menyebabkan Tyra dikecam kerana rancangan kelolaannya itu cuba membawa mesej yang tidak baik kepada audiens.

Ia didakwa menyebabkan anak-anak gadis berbangga dengan imej kurus yang ekstrem.

Rekod

Begitupun, Tyra telah melakukan kesilapan apabila mengatakan gadis tersebut mempunyai pinggang paling ramping di dunia.

Pemegang rekod pinggang teramping di dunia yang masih hidup ialah seorang nenek berusia 73 tahun, Cathie Jung dari Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS).

Cathie mempunyai lilitan pinggang 15 inci (38.1 sm). Ia hampir menyamai saiz biasa botol mayonis.

Cathie turut menarik perhatian selebriti berpengaruh, Oprah Winfrey untuk menjadi tetamu khas dalam rancangan televisyennya.

WANITA dari Carolina Utara, Cathie Jung memegang rekod dunia sebagai individu pinggang paling ramping yang masih hidup.


Cathie turut diterbangkan untuk ditampilkan dalam rancangan televisyen di Eropah dan Jepun.

Jika anda melihat gambar-gambar Cathie di laman ini jangan pula menyangka ia penangan perisian Photoshop.

Realitinya, tubuh nenek yang berpotongan badan 39-15-39 ini begitu menakjubkan (atau mungkin mengerikan).

Bentuk badan sebegitu bukan diperoleh Cathie kerana kekurangan nutrisi atau masalah kesihatan, sebaliknya hasil pemakaian korset yang diamalkan sejak 27 tahun lalu.

Mengenakan korset 24 jam setiap hari sejak tahun 1983, satu-satunya masa dia menanggalkannya ialah semasa mandi atau mengeringkan badan.



Sebelum mengamalkan pemakaian korset, Cathie mempunyai lilitan pinggang berukuran 28 inci (71.2 sm)

Cathie memberitahu, kali pertama dia memakai korset buatan khas ialah semasa perkahwinannya pada tahun 1959. Ketika itu dia berusia 22 tahun.

Kemudian dia hanya mengenakannya sekali-sekala. Dia melupakan hasrat untuk memperoleh tubuh seperti balang jam pasir itu sehinggalah ketiga-tiga anaknya dewasa.

"Saya sentiasa sukakan korset. Apabila saya menonton filem seperti Gone With the Wind dan Seven Brides for Seven Brothers, saya sukakan bentuk badan watak-watak perempuannya," katanya.

Apabila Cathie berusia 45 tahun, minat terhadap kostum-kostum era Victoria bercambah dalam dirinya.

Tulang belakang

Sejak itu, Cathie mengambil keputusan untuk memakai korset yang ketat sepanjang masa.

"Anak-anak saya sudah besar, jadi saya fikir ia waktu untuk saya melakukannya. Saya rasa elegan dan seksi," tambahnya.

Tahun demi tahun, Cathie mengenakan korset yang lebih ketat.

Daripada korset bersaiz 25 inci, dia berubah kepada 24, 21 dan akhirnya 15 inci.

Cathie tidak sedikit pun merasakan pemakaian korset membataskannya pergerakannya.

"Saya melakukan segala-galanya yang saya mahu. Saya makan dalam jumlah yang agak kecil, tapi saya rasa ia sesuai dengan usia saya.

"Saya bahkan ada kostum renang yang dijahit dengan korset, jadi saya masih boleh pergi ke pantai," katanya berjenaka.

Cathie yang digelar Ratu Korset memberitahu yang dia mempunyai koleksi 100 helai korset. Ada yang diperbuat daripada kapas, sutera Cina dan ada daripada kulit.

Ukuran lilit pinggang Cathie tanpa korset ialah 21 inci tetapi ia tetap satu pengurangan yang mengagumkan kerana saiz asal pinggangnya ialah 28 inci.

Bagaimanapun, pemegang rekod pinggang terkecil di dunia yang pernah dicatatkan ialah seorang wanita bernama Ethel Granger yang meninggal dunia pada tahun 1982.

Saiz lilitan pinggang wanita yang turut sinonim dengan korset itu ialah 14 inci.

Cathie memberitahu, suaminya Bob yang merupakan pakar bedah tulang telah melakukan imbasan sinar X pada tubuh Cathie dan memberitahu bahawa korset sebenarnya membantu menyokong tulang belakangnya.

"Bagi tulang rusuk, anda akan terkejut kerana mendapati ia tidak memberi impak kepada dada.

"Ia cuma mengenai dua tulang rusuk bawah, tetapi kedua-duanya dipanggil rusuk terapung.

"Kesemua bahagian di atas pinggang adalah fleksibel. Masalah yang terjadi hanyalah kulit menjadi kering dan soal kebersihan korset," kata Bob.

Berbanding Cathie dan Ethel yang memperoleh pinggang yang kecil dengan memakai korset, Ann Ward berkemungkinan memperolehnya daripada genetik.

Ann mempunyai ketinggian 190 sentimeter dan rata-rata ahli keluarganya tinggi lampai dan amat kurus.

Dia bukan gadis penghidap anoreksia atau bulimia yang mengamalkan cara pemakanan tidak sihat kerana benci badan berisi.

"Dalam musim America's Next Top Model terbaru ini, anda akan melihat Ann, seorang gadis muda yang bergelut dengan isu imej tubuh sendiri iaitu tinggi lampai dan terlampau kurus.

"Hidupnya sering menjadi bahan ejekan ramai. Membantu gadis-gadis muda seperti Ann dan gadis lain sepertinya adalah selaras dengan misi saya," kata Tyra Banks.


sumber : SINI

1 kutukan sopan diterima:

Cik Ila said...

ish..kurus gile..mcm kerengga..
haha
nway..salam perkenalan.
selamat berblogging.. :)

 

The Journey Of Nana Template by Ipietoon Cute Blog Design