Assalamualaikum w.b.t
Malam ni kerinduan untuk mencoret sesuatu di laman sesawang milik anak pak usop makin menjadi jadi. Aku rindu untuk mencoret sesuatu yang dah lama aku rasa ingin abadikan disini.
Abah. Ya, malam ni aku nak coret sesuatu untuk insan istimewa dalam hidup aku. Seorang insan yang terlalu banyak baktinya pada diri aku. Beliau yang terlalu bersusah payah untuk anak. Ya, beliau abah aku.
abah dan mak tercinta. oh ya, abah memang tak suka bergambar,jadi memang susah untuk dapatkan gambar abah seorang.
Abah, panggilan kami enam beradik untuk seorang lelaki tua yang kini makin dimamah usia. Lelaki tua yang masih gagah mencari rezeki demi anak anak dan isteri tercinta. Lelaki tua yang begitu tegas dalam membuat keputusan. Lelaki tua yang begitu tabah mengharungi liku liku hidup ketika mengambil keputusan untuk menjadi peneroka Felda lewat tahun 80-an dulu. Lelaki tua itu abah aku.
Jarang aku bercerita mengenai abah di laman ini. Aku lebih senang bercerita mengenai apa yang aku rasa. Tapi malam ini bila aku sediri di bilik (aku sedang kursus di akademi bomba KKB) aku terkenang abah. Sungguh aku rindu raut wajah tua abah. Aku rindu zaman kanak kanak aku bersama abah.
Aku anak ke 4 dari 6 beradik. Boleh dikatakan aku yang paling manja dan sering mengaku yang aku adalah bongsu. Haha. Dulu aku selalu mengaku aku adik walhal bawah aku ada lagi 2 orang adik. Mungkin perbezaan usia antara aku dengan adik bawah aku buat aku perasan yang aku adik. Ehh, tapi abah masih panggil aku adik walaupon ketika tu aku dah punya adik. Jadi tak salah kan nak mengaku adik? Haha
Dalam keluarga kecil kami, aku rasa aku lah yang paling rapat dengan abah. Teringat yang aku sentiasa 'tercengkong' di atas motor kalau abah nak kemana mana. Aku yang sering mengikut abah ke mana mana untuk menjual petai, lemang, rebung, pucuk paku, buah beluluk atau apa saja yang abah rasa boleh dijadikan perniagaan masa dulu. Aku duduk dibelakang sambil memegang dan bertanya pada jiran jiran atau rumah yang kami lewati sama ada ingin membeli atau tidak apa yang kami jual. Aku yang akan jadi akauntan abah untuk kira kira untung rugi ketika itu. Aku rindu saat abah mencari aku di rumah Pak Abu waktu tengah hari untuk mengajak aku makan. Dengan berkain pelikat tanpa berbaju, abah sentiasa menuju ke rumah Pak Abu kalau aku hilang waktu tengah hari. Kalau abah malas nak jemput, cukup dengan jeritan suara abah untuk aku dengari.Ye, abah tahu kemana aku pergi.
Abah sungguh garang dan tegas. Dulu pantang salah sikit, pasti ada habuan menanti. Sungguhpon begitu, aku tahu niat abah hanya satu. Untuk mengajar kami adik beradik erti kehidupan. Adik adik aku tak merasa semua itu.
Teringat suatu ketika, di zaman persekolahan sekolah rendah. Aku pasti abah sentiasa inginkan yang terbaik untuk aku. Dengan motor tua itu abah hantar aku kesekolah. Terbayang betapa abah bangga bila aku sering mendapat tempat teratas di dalam kelas. Terbayang bagaimana abah bangga bila aku diumumkan mendapat 4A 1B dalam UPSR tapi rupanya cikgu salah baca keputusan. Abah agak kecewa bilamana keputusan sebenar aku hanya mendapat 3A 2B, tapi aku nampak usaha abah untuk masukkan aku ke MRSM. Betapa wajah tua itu bangga bercerita mengenai anak anak nya. Sayang, keputusan yang tak memberangsangkan itu gagal untuk membawa aku ke MRSM. Abah hantar aku ke SMKBBS. Salah satu sekolah terbaik zaman aku dulu. Di kawasan itu ada 2 buah sekolah menengah harian biasa tp SMKBBS adalah sekolah bestari. Jadi ada kelebihan disitu. Aku tahu abah bangga bila aku belajar disitu kerana ramai anak anak kawan abah tak dapat ke situ. Mungkin disebabkan usia muda waktu tu, aku jadi khayal. Aku leka dengan alam sekolah. Tiada istilah untuk aku belajar bersungguh sungguh walau aku sentiasa berada di kelas hadapan. Pernah satu ketika waktu aku ditahun akhir di sekolah menengah. Abah lewat datang untuk ambil keputusan peperiksaan. Aku sedih dan kecewa. Aku rasakan waktu itu abah sengaja buat tak endah dengan aku. Aku marah sangat dengan abah.Tiba tiba bila jam menghampiri pukul 1, aku lihat abah diluar kelas. Aku lihat wajah tua itu penuh pengharapan. Mungkin mengharapkan keputusan yang baik. Abah masuh kelas jumpa cikgu. Abah kata dia lewat kerana baru balik dari menoreh getah. Aku ikut duduk disebelah abah. Slip peperiksaan abah pegang. Aku nampak wajah tua itu seakan kecewa.Keputusan aku tak seperti yang abah jangka kan walau ketika itu aku dikelas hadapan.
Keputusan SPM aku keluar awal 2006. Sekali lagi aku bagi kekecewaan pada abah. Aku hadiahkan keputusan hanya cukup cukup makan buat abah. Hanya berbekalkan 2A, 3B, 5C aku melanjutkan pengajian diperingkat IPTA hanya di Politeknik Merlimau dalam jurusan Elektronik Komputer. Aku lihat abah bangga menceritakan perihal aku yang kini belajar di politeknik walhal ramai lagi kawan kawan aku yang lebih cemerlang masa tu. Genap sebulan aku di politeknik, aku terima panggilan untuk ke Akademi Laut Malaysia a.k.a ALAM. Yess, salah satu tempat belajar yang aku nak sangat pergi dan salah satu cita cita aku dulu. Aku berhenti serta merta bila dapat panggilan masuk ALAM. Abah datang ambik aku petang tu jugak dekat Merlimau. Esoknya kami ke Dayabumi untuk buat medical check up. Aku perasan riak wajah abah bangga. Settle urusan di Dayabumi, abah uruskan pembelian barangan untuk ke ALAM. Ye, aku nampak kesungguhan abah. Abah hantar aku ke ALAM dengan perasaan bangga. Tapi malangnya, sekali lagi aku kecewakan abah. Aku berhenti ALAM hanya kerana mental aku tak kuat dikritik oleh senior senior terdahulu hanya kerana aku perempuan. Mungkin jugak dah tertulis aku tak bekerja dilautan biru.Aku tahu abah kecewa. Abah terluka. Abah langsung tak endahkan aku sejak aku keluar dari ALAM. Abah lebih banyak diam dari bercakap. Aku tahu abah kecewa yang teramat.
Cukup setahun jadi penanam anggur berjaya dirumah, aku ditawarkan ke Politeknik Perlis dalam bidang yang aku sendiri rasa nak gelak.Video & Pengajian Filem. Kali ni tiada lagi kesungguhan abah. Aku cuma nampak kesungguhan abah ketika abah nak hantar aku kesana. Abah cuma pesan jangan sampai ada kali ketiga. Masa tu aku dah nekad. Takkan ada kali ketiga. Cukuplah aku dah kecewakan abah sejak dari sekolah. Di Perlis, aku kembali main main. Tiada langsung kesungguhan aku menuntut ilmu. Hilang sudah wajah kecewa abah yang selalu bermain dimata. Yang aku fikir hanya keseonokan bersama kawan kawan.Hingga satu ketika, aku digagalkan dari latihan industri. Ini satu benda paling bodoh dalam hidup aku. GAGAL PRAKTIKAL. Sekali lagi aku ulang GAGAL PRAKTIKAL. Terus terang aku memang kecewa. Aku adukan pada abah. Aku suarakan hasrat untuk tak lagi sambung belajar. Aku nak kerja cari duit sendiri. Aku dah terlalu banyak buang masa, duit dan tenaga. Abah cakap 6 bulan tak lama mana pon. Alhamdulillah, berkat kesabaran aku 6 bulan tambahan berjaya aku habiskan dengan jayanya.
Habis study dulu, aku terus kerja. Memang tak tunggu lama. Aku kerja biasa biasa je.Gaji pon tak lah besar mana. Sampai lah satu hari aku dapat surat dari SPA untuk ujian fizikal bomba gred 17. Abah support aku dari belakang. Abah cakap cuba dulu. Seperti yang dah dijangka aku tak berjaya. Walau tak berharap, tapi aku sedikit kecewa waktu tu. Seminggu selepas tu, aku terima lagi panggilan untuk ujian fizikal bomba. Kali ni untuk gred kb29(lepasan diploma). 2 minggu sebelum tarikh ujian aku ke balai bomba Kuala Pilah hampir setiap hari untuk membuat persediaan.(tq cikgu2 & cik kat pilah. tak dan lagi nak hantar pulut kuning). Alhamdulillah ujian fizikal kali ni aku berjaya. Aku tengok abah senyum waktu aku bagitahu berita gembira tu. Tapi aku ada lagi 2 ujian. Kalau lulus barulah diterima sebagai pelatih bomba. PPIB dibulan 4. Abah hantar aku ke Terengganu.Aku lihat abah yang excited sebenarnya. Aku faham abah nak yang terbaik untuk aku. Alhamdulillah PPIB jugak aku lepas. Akhir sekali temuduga lisan dan sekali lagi aku berjaya. Bulan 10, 2012 aku dapat surat panggilan ke Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu. Abah lah orang yang paling gembira tapi abah seorang je yang tak nak hantar aku ke Terengganu. Alasannya, ayam & kucing kat rumah takda siapa nak jaga. Waktu aku salam abah sebelum berangkat ke Terengganu abah pesan satu benda kat aku. Abah cakap, abah tak kan hantar akak ke akademi, tapi buktikan akak dapat habiskan rekrut ni dengan abah, abah akan datang waktu tamat latihan. Nak ikutkan rekrut memang rasa nak lari. Tapi aku hanya fikirkan abah. Aku nak buktikan pada abah aku akan cuba buat abah bangga jugak. Alhamdulillah, hampir 7 bulan di pusat latihan, aku berjaya habiskan rekrut dengan jaya. Abah datang dengan bangga. Along cakap abah menangis waktu tengok perarakan masuk ke padang kawad. Abah tanya mak mana satu aku. Aku berjaya buat abah bangga.
Ini hadiah terhebat yang pernah aku bagi buat abah. Diploma Sains Kebombaan. InsyaAllah akan muncul yang lain selepas ini.
Gambar keluarga dimajlis tamat latihan. Terima kasih abah,mak dan semua yang datang
dua paku dibahu bersama tanggungjawab yang menggunung.
Alhamdulillah, hari ni, saat aku menulis coretan ni, aku dah hampir setahun lebih bersama bomba. Aku kini ditempatkan di bahagian Keselamatan Kebakaran Negeri Johor. Walau hanya 2 paku di bahu, aku berjaya buat abah tersenyum gembira. InsyaAllah kalau diberi kesempatan, aku ingin terus buat abah bahagia dan bangga kerna punya anak degil tapi boleh dikatakan berjaya seperti aku. :)
Sebenarnya banyak lagi yang ingin aku karangkan cerita berkenaan abah. Mungkin akan ada sambungan nanti kerana abah terlalu istimewa buat aku. Lelaki pertama yang aku lihat dulu. Lelaki pertama yag aku cinta.
Abah, lelaki tua yang terlalu istimewa. Akak sayang abah selamanya. :)